KUALA LUMPUR, 9 April : Seorang penghuni Rumah Bonda memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau menggigit perut seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella atas arahan pengasas rumah kebajikan tersebut, Siti Bainun Ahd Razali.
Yasmin Nahar Mahmood, 18, berkata Siti Bainun mengarahkan beliau untuk berbuat demikian kerana Bella tidak mengikuti arahan tertuduh untuk berdiri di bahagian dobi sebuah unit kondominium yang didiami mereka di Wangsa Maju, di sini.
Berikutan kejadian itu, Yasmin berkata Siti Bainun naik berang dan mengarahkannya untuk mengambil picagari berisi air panas untuk dipancutkan kepada Bella sebagai hukuman kerana tidak mendengar cakapnya.
“Saya lihat Bella menggelupur tetapi dia tidak menjerit kesakitan…melihatkan keadaan itu, Siti Bainun semakin marah dan arahkan saya untuk gigit perut Bella,” katanya ketika dirujuk dengan sekeping gambar Bella dengan kesan gigitan semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pada perbicaraan Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berumur 13 tahun itu.
Baca > > > Pengasas Rumah Bonda didakwa abai kanak-kanak sindrom down
Menceritakan kembali kejadian ketika Bella ditemui dengan kesan luka pada 24 Jun 2021, saksi pendakwaan kelima itu berkata rakan baik Siti Bainun, Zurianty Sudin yang dikenali sebagai ‘Mommy’ menangis apabila tiba di pintu pagar unit kondominium tersebut selepas melihat keadaan Bella yang kurus seperti tidak cukup makan.
“Mommy datang ke rumah untuk bertanya khabar dan membelikan kami (saksi dan beberapa penghuni lain termasuk Bella) makanan. Mommy terkejut apabila melihat Bella dan bertanya kepada kami kenapa Bella boleh jadi begini?
“Kami beri alasan Bella tidak mahu makan dan membuang makanan, tidak mahu mandi, nakal dan tidak mendengar cakap, seperti yang diarahkan kepada kami oleh Siti Bainun. Kami takut untuk memberitahu perkara sebenar, tapi bukan takut Mommy akan marah kami, tetapi lebih takut sekiranya Siti Bainun tahu kami dedahkan rahsia (tentang kecederaan Bella) kepada Mommy,” katanya.
Saksi itu berkata selepas keadaan Bella diketahui oleh Zurianty, Siti Bainun melalui panggilan telefon telah mengarahkannya mengajar Bella supaya menipu sekiranya ada orang bertanya kepada remaja itu mengenai kecederaannya.
“Contohnya, kalau ada orang tanya Bella ‘ada orang pukul tak’, suruh Bella cakap ‘tak ada’. Kalau ditanya mengenai kecederaan air panas pula, suruh Bella beritahu dia buat kepada diri dia sendiri.
“Bagaimanapun, kami tidak sempat mengajar Bella kerana Mommy telah menelefon ambulans dan Bella telah dibawa turun dari kondominium untuk menaiki ambulans,” katanya.
Zilfinaz kemudian merujuk kepada sebuah laporan polis yang pernah dibuat oleh saksi itu yang menyatakan Bella sering diberikan tekanan mental dan perasaan oleh tertuduh.
“Bella selalu diperbodohkan dan dimainkan perasaannya oleh Siti Bainun. Bella selalu cakap hendak jumpa rakannya yang dikenali sebagai Amshanor, Siti Bainun beritahu Bella, ‘Amshanor dah mati’ dan menunjukkan gambar mayat yang dia cari di Google. Bella kemudian menangis,” kata Yasmin.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 13 April depan. – TVS