KUCHING, 8 April : Malaysia mencatatkan penurunan bilangan penganggur sebanyak 1.3 peratus pada Februari lepas menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menerusi Statistik Tenaga Buruh Malaysia Februari 2022, DOSM melaporkan penurunan berkenaan adalah berdasarkan rekod yang diperoleh iaitu 671 800 orang berbanding 680 400 orang pada Januari 2022.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd. Uzir Mahidin berkata, ini memberi petunjuk bahawa kadar pengangguran pada Februari turun kepada 4.1 peratus berbanding 4.2 peratus bulan sebelumnya.
“Bilangan penduduk bekerja pada Februari tahun ini pula meningkat 0.3 peratus bulan-ke-bulan kepada 15.73 juta orang berbanding 15.69 juta orang yang dicatatkan pada Januari, manakala bilangan tenaga buruh pula naik 0.2 peratus kepada 16.40 juta orang pada Februari 2022 berbanding 16.37 juta orang bulan sebelumnya,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan mengenai Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Februari 2022 yang dikeluarkan hari ini di Putrajaya.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, kedudukan tenaga buruh terus kukuh pada Februari tahun ini didorong oleh operasi berterusan semua aktiviti ekonomi dan sosial pada bulan tersebut.
“Februari menyaksikan peningkatan berterusan dalam penduduk bekerja berikutan lebih banyak permintaan buruh oleh perniagaan serta pewujudan peluang pekerjaan dalam pasaran untuk mengekalkan perniagaan.
“Seterusnya, ia mendorong kepada penurunan dalam bilangan penganggur dan kadar pengangguran yang lebih rendah pada bulan tersebut,” katanya.
Sementara itu beliau berkata penganggur aktif atau mereka aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah penganggur.
“Bilangan dalam kategori berkenaan berkurang sebanyak 1.2 peratus kepada 562 500 orang.
“Sementara pada Januari 2022 adalah sebanyak 569 500 orang,” ujarnya lagi.-TVS