KUCHING, 8 April: Barisan Nasional (BN) Selangor mendakwa pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak bersetuju dengan cadangan ‘menyelamatkan’ Sapura Energy Berhad (SEB) adalah disebabkan parti itu tidak peduli dengan agenda Bumiputera.
Sambil menempelak PKR, Ketua Penerangannya, Isham Jalil berkata, PKR tidak seharusnya melihat ‘pihak atasan’ semata – mata sebaliknya perlu membuka mata terhadap mereka yang berkhidmat di bawah syarikat itu.
“(Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kata ini (SEB) orang-orang kaya, kenapa perlu ‘bail out’ Sapura ketika nelayan dan petani susah.
“Apa yang beliau tidak tengok ialah siapa di bawah SEB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program bual bicara Wacana Minda anjuran Biro Penerangan UMNO kelmarin.
Sebelum ini, Rafizi yang mewakili PKR berkata, beliau konsisten dengan pendirian bahawa semua bail out, termasuk ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tidak bagus.
Rafizi turut menegaskan, cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelamatkan SEB adalah usaha untuk membela golongan elit.
Beberapa laporan media sebelum ini mendedahkan gaji yang diterima oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu dikatakan lebih RM17 juta setahun, sekaligus menjadi modal utama PKR membantah cadangan menyelamatkan SEB.
Isham yang juga bekas pegawai khas Najib mendakwa, ketika ini terdapat kira-kira 3,000 syarikat vendor di bawah SEB yang masih belum menerima bayaran.
“Sejumlah 1,900 syarikat vendor itu milik Bumiputera.
“Anwar Ibrahim, Rafizi, Nazmi, sebagainya, mereka peduli apa dengan Agenda Bumiputera? Mereka tak ada Agenda Bumiputera pun,”katanya.
Isham menjelaskan, SEB lahir daripada dasar UMNO yang bertujuan untuk menaikkan pegangan ekuiti Bumiputera untuk memberi peluang kepada mereka melibatkan diri dalam industri minyak dan gas.
Beliau berkata PKR sebaliknya tidak melihat aspek kepentingan syarikat-syarikat di bawah Sapura.
“Sebab itu dia kata tak payah ‘bail out’ lah, biar syarikat ini jatuh. Dia tak nampak kalau ‘company’ tak dibayar, vendor nak pergi mana? Industri akan jatuh,”katanya. -TVS