KUCHING, 8 April : Pengarah filem berasal dari Sarawak, Henry Liu yang berpengalaman luas dalam industri perfileman dan televisyen di China, akan tampil berkongsi kepakarannya dalam bengkel Pra-Visualisasi Filem di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Liu berkata, dia berasa teruja apabila dijemput dalam bengkel anjuran Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif universiti berkenaan sempena penganjuran Festival Filem Mini (FFM) oleh fakulti itu.
Pengasas Two Two Studio itu yang pernah menerima pelbagai anugerah termasuk dicalonkan dalam Festival Filem Yokohama dan Festival Filem Antarabangsa Berlin percaya, industri perfileman di negeri ini mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.
“Potensinya ada namun selepas kembali ke Sarawak saya melihat pembikin filem amatur di sini masih kurang penguasaan dalam elemen penceritaan visual.
“Aspek ini akan saya sentuh semasa bengkel berkenaan,” katanya.
Bengkel percuma ini turut mendapat kerjasama pelbagai organisasi seperti Majlis Seni Sarawak, Yayasan Sarawak, TVS, Engage Media dan PERSENI.
Liu berkata, beliau juga akan menggunakan platform berkenaan untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran menulis skrip dan cara merealisasikan setiap babak dalam sebuah filem.
“Oleh itu, saya berharap melalui bengkel ini, peserta mendapat pelbagai perseptif baharu termasuk membuka mata terhadap proses pra-visualisasi,” katanya.
Bengkel berkenaan akan berlangsung secara fizikal pada 11, 19 dan 28 April 2022 bertempat di Studio TV, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, UNIMAS.
Peserta yang berminat untuk menyertai bengkel ini boleh mendaftar di https://bit.ly/18thMFF.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Nurul Rahayu Norianto di talian 012 – 971 9316. – TVS