KUCHING, 6 April : Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) menyokong inisiatif Petronas dan Petrosains untuk melahirkan modal insan di negeri ini yang menguasai subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sokongan yang diberikan bertujuan memberi galakan kepada pelajar di Sarawak mengambil jurusan berkenaan yang sangat penting untuk memacu pertumbuhan Sarawak ke arah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Usaha ini juga selari dengan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi jumlah pelajar dalam jurusan sains dan matematik,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengarah (Komersial dan Pengalaman) Petrosains Kuala Lumpur,Kamaruddin Kassim di pejabatnya di sini hari ini.
Pada masa sama, Fatimah turut mencadangkan agar usaha memupuk minat pelajar terhadap STEM diluaskan ke kawasan luar bandar supaya murid di sana turut menyedari kepentingan subjek berkenaan.
Sementera itu, Kamaruddin berkata, pihaknya akan meluaskan inisiatif berkenaan dengan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Pendidikan.
“Kita juga bercadang untuk memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran STEM dengan memberi pendedahan kepada guru Pra Sekolah,”katanya.
Ujar beliau,matlamat berkenaan akan tercapai sekiranya warga pendidik turut diberi pendedahan mengenai Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).-TVS