KUCHING, 5 April : Masalah rumah tangga dipercayai menjadi punca ‘pergaduhan berdarah’ suami isteri yang berakhir dengan kematian seorang anggota tentera di Kem Penrissen, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan (DSP) Sudirman Kram berkata, siasatan kes berkenaan kini melibatkan pelbagai aspek sambil tidak menolak kemungkinan krisis rumah tangga sebagai antara penyebab.
“Sementara itu, anak lelaki pasangan berkenaan yang berusia tiga tahun pula kini diserahkan kepada sepupu suspek yang datang dari Sibu untuk dijaga buat sementara waktu,”katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Baca >>> Anggota tentera maut ditikam
Dalam kejadian kira – kira pukul 10.30 malam tadi, suspek yang berusia 24 tahun difahamkan menggertak suaminya menggunakan pisau pemotong sayur dan secara tidak sengaja tertikam paha suaminya.
Tikaman itu menyebabkan berlaku pendarahan serius dan mangsa yang berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Umum Sarawak.
Sudirman memberitahu, suspek kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -TVS