MIRI , 3 April : Gabungan Parti Sarawak (GPS) berazam untuk mempertahankan dua kerusi Parlimen majoriti Orang Ulu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 akan datang.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Gerawat Gala berkata, kerusi berkenaan membabitkan Parlimen Lawas dan Baram yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum 2018 lalu.
Katanya, usaha itu tidak mustahil jika berdasarkan sokongan masyarakat Orang Ulu di Sarawak kepada GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak, Disember tahun lepas.
Ujar beliau, GPS ketika itu berjaya mengekalkan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti pengundi Orang Ulu.
“Setelah memberikan sokongan, kita berasa berpuas hati berhubung polisi Kerajaan GPS membabitkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak yang memberi tumpuan kepada pelbagai kaum di negeri ini untuk memacu Sarawak ke arah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam dan Persidangan Kali Kelapan Persekutuan Persatuan Orang Mulu Sarawak,Malaysia (Forum) di sini semalam.
Sebelum ini pada PRU-14, Datuk Henry Sum Agong menang kerusi Parlimen Lawas dengan majoriti 6,000 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon bebas.
Kerusi Parlimen Baram pula menyaksikan Anyi Ngau menang dengan turut menewaskan calon PKR.
Pada majlis itu, Gerawat yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh,Imigresen dan Projek) telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM145 000 untuk melaksanakan projek kesejahteraan rakyat membabitkan Orang Ulu dan Forum.
Katanya, dana berkenaan bertujuan memastikan pembangunan infrastruktur etnik Orang Ulu di kawasan pedalaman seiring dengan peredaran masa dan demi keselesaan penduduk kampung.
“Saya juga diarahkan untuk mengumumkan peruntukan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada Forum berjumlah RM50 000 bagi menyokong aktiviti persatuan ini,”katanya.
Pada masa sama, beliau turut berharap supaya masyarakat Orang Ulu yang berkelayakan akan diberi peluang lebih luas termasuk dilantik memegang jawatan kanan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Ini bagi memastikan supaya kaum Orang Ulu dapat maju bersama kaum lain di Sarawak,”katanya.-TVS