JOHOR BAHRU, 3 April : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan terdapat rakyat negara ini menyamun dan mencederakan warga Singapura seperti yang dipaparkan beberapa klip video dan gambar yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata video dan gambar berkenaan adalah palsu dan Bukit Aman juga pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara itu pada 2 Nov lepas.
Beliau berkata penyebaran video dan gambar palsu seumpama itu dilihat sebagai cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai, khususnya pelancong warga Singapura yang datang ke negara ini melalui Johor.
“Perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya.
Justeru itu beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan yang diperoleh daripada sumber yang tidak sah dan menggunakan maklumat palsu. -TVS