KUALA LUMPUR, 2 April : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengucapkan selamat kembali ke tanah air kepada semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara susulan pembukaan sempadan negara selaras dengan ‘Fasa Peralihan ke Endemik’ yang bermula semalam.
Perdana Menteri turut berkongsi perasaan gembiranya dan bersyukur apabila melihat pelbagai hantaran di media sosial Keluarga Malaysia yang sangat gembira dapat pulang ke Malaysia.
Beliau menyifatkan Fasa Peralihan ke Endemik itu membawa kegembiraan kepada seluruh Keluarga Malaysia, dan ia dapat menyatukan semula hubungan kasih sayang yang terpisah jauh, termasuk rakyat negara ini yang berada di Singapura.
“Setelah hampir lebih dua tahun kita berperang dengan pandemik COVID-19 dan ada yang terpaksa berjauhan dari keluarga, hari ini 1 April 2022, Malaysia berjaya membuka sempadan negara.
“Selamat kembali ke tanah air, Keluarga Malaysia yang amat saya sayangi,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau semalam. -TVS