KUCHING, 31 Mac : Penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah meluahkan rasa sedih atas pemergian penulis lirik lagu Lelaki Teragung, Rudy Imran yang meninggal dunia pagi tadi.
Lagu berkenaan telah memberi kejayaan besar kepada Dayang dalam satu pertandingan nyanyian anjuran sebuah stesen televisyen beberapa tahun lepas.
Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu berkata, dia terasa kehilangan besar kerana Rudy merupakan individu yang rapat dengannya dan melihat perjalanan kariernya.
“Perkenalan kami bermula ketika Arwah Rudy bergelar seorang wartawan hiburan, kemudian terlibat sebagai penulis lirik bagi beberapa lagu yang dinyanyikan saya,”katanya menerusi hantaran di Instagram.
Selain Lelaki Teragung, Rudy Imran yang menggunakan nama pena Imran Iman turut menghasilkan lirik Di Pintu Syurga, satu lagi lagu nyanyian Dayang yang telah mengukuhkan kembali kedudukannya sebagai antara penyanyi wanita yang mempunyai vokal mantap di negara ini.
Rudy,47, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Semenyih , Selangor, pada pukul 11.30 pagi tadi akibat menghidap penyakit kanser usus sejak beberapa tahun lalu.
Selepas bersara sebagai wartawan hiburan, Rudy bergelar pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) apabila menamatkan pengajian Sarjana Komunikasinya.
Difahamkan ketika ini, Arwah sedang dalam pengajian Doktor Falsafah (PHD).
Sementara itu, Dayang berkata, dia berasa sedikit terkilan kerana tidak sempat merakamkan sebuah lagu yang liriknya juga ditulis oleh Rudy.
” Andai dapat diulang masa, saya hendak rakam lagu ini lebih awal supaya Arwah dapat mendengarnya,”katanya.
Menutup ucapan takziahnya, Dayang berkata, dia mendoakan agar roh lelaki berkenaan ditempatkan di kalangan insan yang dikasihi Allah SWT. -TVS