LANGKAWI, 30 Mac : Seorang juruterbang pelatih wanita cedera ringan apabila pesawat latihan yang dikendalikannya, tergelincir dari landasan ketika sedang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, malam ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.15 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi ke tempat kejadian.
“Kejadian melibatkan sebuah pesawat latihan komersial (swasta) jenis Diamond-14 yang tergelincir dari landasan dan menyebabkan mangsa berumur 28 tahun, mengalami kecedaraan ringan di bahagian pinggang dan lutut di kedua-dua bahagian kaki.
“Mangsa telah dikeluarkan oleh pasukan bomba dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi , Asisten Komisioner Shariman Ashari ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. -TVS