KUALA LUMPUR, 30 Mac : Tekanan harga asas dijangka kembali normal apabila ekonomi dalam negeri pulih, membayangkan tekanan inflasi berlebihan akibat gangguan pandemik dapat terus dibendung setakat ini, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurutnya, faktor khusus sesebuah negara menunjukkan bahawa tekanan inflasi pengguna secara keseluruhan di Malaysia berkemungkinan secara relatif adalah terkawal dalam jangka masa sederhana, dengan terdapatnya beberapa faktor struktur dan dasar.
Bagaimanapun, BNM dalam Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 yang dikeluarkan hari ini berkata, kelemahan masih wujud terutamanya berikutan perkembangan geopolitik baru-baru ini.
“Yang penting, sesetengah barangan makanan keperluan, seperti daging segar adalah sensitif COVID-19 dan boleh mengalami tekanan harga yang lebih tinggi dan seterusnya, memberikan kesan negatif kepada kos sara hidup isi rumah,” katanya.
Menurut bank pusat, beberapa gangguan pandemik yang mendorong kepada inflasi pengguna yang tinggi di beberapa negara lain adalah kurang teruk atau telah sebahagiannya berjaya dikurangkan di Malaysia.
“Bagaimanapun, sikap berwaspada perlu diteruskan. Berikutan beberapa segmen makanan ruji lebih terdedah kepada tekanan kenaikan harga yang meruncing, kebimbangan terhadap kenaikan kos sara hidup kekal menjadi perhatian utama,” menurut BNM.
Mengikut penilaian inflasi pengguna, bank pusat telah membuat pengelasan bagi item terpilih dalam kumpulan Indeks Harga Pengguna (IHP) kepada dua kumpulan yang saling eksklusif iaitu sensitif COVID-19 atau tidak sensitif COVID-19 bagi mencatatkan kesan langsung pandemik.
Inflasi untuk barangan sensitif COVID-19 akan lebih terkesan akibat gangguan berkaitan pandemik seperti penjarakan sosial, kekangan rantaian bekalan atau permintaan terpendam.
Justeru, apabila gangguan ini semakin meningkat, kesannya terhadap inflasi pengguna akan turut meningkat.
Menurut BNM, kategori inflasi yang lebih sensitif terhadap gangguan COVID-19 berjumlah 63 peratus daripada komposisi Kumpulan IHP, manakala, 17 peratus bagi yang kurang sensitif.
Sementara itu, terdapat sesetengah item telah menunjukkan peningkatan tekanan inflasi secara relatif kepada trend sebelum pandemik apabila pandemik bermula, sekali gus mungkin berpotensi mencerminkan tahap sensitif mereka yang lebih tinggi terhadap tekanan penawaran dan kos seperti rantaian bekalan yang terganggu dan kos prosedur operasi standard.
BNM menjelaskan, item-item ini dirujuk sebagai “sensitif dan positif.”
“Apabila keseimbangan permintaan dan penawaran yang disebabkan oleh pandemik berubah, begitu juga kemungkinan inflasi bagi item-item yang sensitif ini,” katanya.
Antara item sensitif and positif adalah daging segar, dengan wajaran sebanyak 1.8 peratus, diikuti beras (1.1 peratus), barang kemas, cincin dan batu berharga (0.5 peratus) dan salon mendandan rambut dan kedai solek (0.5 peratus). –TVS