MIRI, 30 Mac : Gara – gara tidak berpuas hati terhadap pertanyaan isterinya, seorang lelaki hilang kewarasan apabila membelasah wanita itu dalam kejadian di Piasau Utara, Isnin lepas.
Difahamkan, ketika kejadian pada pukul 11.30 malam itu, suspek yang berusia 31 tahun mengamuk dan memukul isterinya selepas ditanya sama ada dia mempunyai perempuan lain.
Susulan itu, mangsa yang berusia 39 tahun tampil membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (Daerah) Miri telah menahan lelaki tersebut kurang satu jam selepas menerima laporan kejadian itu,”katanya.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga. -TVS