SHANGHAI, 28 Mac : Hub kewangan China di Shanghai melancarkan sekatan pergerakan secara berperingkat kepada 26 juta penduduknya pada Isnin, lapor Reuters.
Sekatan yang dibahagikan kepada dua fasa tersebut adalah sebagai langkah awal bagi mengekang penyebaran wabak COVID-19 di wilayah itu.
Shangai dilapor turut menutup jambatan, terowong serta menyekat lalu lintas lebuh raya yang sesak susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang direkodkan baru-baru ini.
Sekatan segera dengan bandar dibahagikan kepada dua bermula dari barat Sungai Huangpu selama sembilan hari untuk membolehkan ujian secara beperingkat dijalankan.
Piahk berkuasa Shanghai mengeluarkan perintah berkurung kepada penduduk di bahagian timur sungai terbabit sepanjang proses ujian berlangsung.
Susulan itu, penduduk di sebelah barat telah mula membeli stok makanan dan keperluan lain bagi persediaan sebelum 1 April.
Pada masa yang sama, khidmat penghantaran yang mendapat permintaan tinggi sebelum ini dilaporkan semakin berkurangan.
“Apabila saya naik ke tingkat atas iaitu pasar basah, tiada apa yang tinggal ketika itu,” kata Li Guofeng, 66, penduduk Shanghai.
“Saya bertanya sendiri, apa yang perlu saya lakukan untuk beberapa hari yang akan datang,” ujarnya lagi.
Pihak berkuasa Shangai berkata sekatan pergerakan berfasa tersebut adalah sebagai proses pemulihan dan tiada perintah sekatan pergerakan penuh akan dilaksanakan di wilayah itu.- TVS