KUCHING, 29 Mac : Pada kebiasaannya sekiranya kita menikmati makan tengah hari, caj melebihi RM10 akan dikenakan jika mengambil beberapa jenis lauk seperti ayam, ikan, daging dan sayur – sayuran untuk satu sajian.
Namun demikian, jangan terkejut jika anda hanya perlu membayar RM6.90 untuk sepinggan nasi bersama tiga hingga lima jenis lauk di Kedey Sue yang terletak di Batu Tujuh, dekat sini.
Pemiliknya, Surani Ismail berkata, harga murah ditawarkan kerana dia mahu berniaga sambil bersedekah.
Bagi meyakinkan pelanggan, Surani yang mesra disapa sebagai Kak Su berkata, dia turut meletakkan ‘poster besar’ memaklumkan tentang harga yang dikenakan itu.
“Sebenarnya sudah tiga tahun saya buka kedai dan jual pada harga murah. Setakat ini, Alhamdulillah, sambutan cukup memberangsangkan,”katanya ketika ditemui TVS baru – baru ini.
Menurut wanita ini, sebelum membuka kedai makan, dia terlebih dahulu ‘mencari pengalaman’ dengan berniaga secara kecil-kecilan di warung.
“Setiap hari saya menyediakan lebih 20 masakan yang meliputi ayam, ikan, daging, udang dan sayur sayuran.
“Walaupun harga murah, namun saya sentiasa mementingkan kualiti, setakat ini maklum balas pelanggan, mereka suka dengan masakan di sini,”katanya.
Ditanya kelompok yang menjadi pelanggan tetapnya, Kak Su memberitahu, antara yang kerap ke situ termasuklah kaki tangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kem askar berhampiran dan pekerja kilang.
“Saya mahu membantu mereka menikmati makanan tengah hari yang sedap pada harga yang tidak membebankan. Saya gembira bila lihat mereka habiskan makanan,” katanya.
Antara lauk yang paling popular jelas Kak Su ialah ikan asam pedas dan rendang ayam.
Sementara itu, seorang pelanggan, Azrul Hafiz berkata, dia antara yang sering ke situ kerana Kedey Sue menjual nasi campur pelbagai lauk dengan harga yang amat berpatutan.
“Selain itu lauknya juga banyak dan saya mengemari masakan berasaskan ayam. Ais krim gula apong di sini juga sedap,”katanya.
Bagi Yahman Achong dari Serian pula, sekiranya mempunyai urusan di Kuching, dia pasti akan singgah di Kedey Sue untuk menikmati makanan tengah hari.
Katanya, harga yang sangat berpatutan serta masakan yang sedap menyebabkan kedai ini menjadi pilihannya. -TVS