KUALA LUMPUR, 29 Mac : Berikut adalah penafian berita tular dalam media sosial oleh agensi yang bertanggungjawab melalui kenyataan media Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) semalam.
Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan kesahihan mesej tular yang mendakwa sijil vaksinasi akan dihilangkan pada aplikasi MySejahtera bagi individu yang enggan menerima dos penggalak.
KKM menjelaskan status vaksinasi bagi semua penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas serta penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun dan ke atas yang masing-masing masih belum menerima dos penggalak setelah layak, hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap dan bukan dihilangkan seperti didakwa.
Orang ramai disaran agar tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam masyarakat, sebaliknya merujuk media sosial rasmi KKM untuk mendapatkan maklumat sahih dan terkini. – TVS