KUCHING, 28 Mac : Penganjuran Pesta Telaga Air 2022 mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutama bagi mereka yang gemar menyertai aktiviti riadah dan pertandingan yang disajikan pada pesta tersebut.
Menurut Ramdi Saimon, 61, aktiviti dan pertandingan sedemikian perlu diberi perhatian dan ditambah lagi bagi menarik minat orang luar untuk berkunjung ke Telaga Air, selain merancakkan lagi aktiviti ekonomi yang dijalankan masyarakat setempat.
“Penganjuran pesta sebegini merupakan salah satu platform bagi penduduk setempat untuk menunjukkan bakat dan menghidupkan kembali acara tradisional seperti bertandak dan sukan rakyat yang mana telah tenggelam dalam arus permodenan.” katanya.
Menurut Jasimah Zen, 47, yang menyertai pertandingan bertandak berkata, “acara sebegini boleh menghidupkan kembali acara tradisional orang dahulu, bagi memberi mendedahkan kepada generasi muda sekarang mengenai acara dan permainan tradisional orang dulu,” katanya ketika ditemu bual TVS.
“Pesta seperti ini dapat memperkenalkan lebih banyak permainan tradisional seperti batu seremban, congkak dan banyak lagi,” katanya lagi.
Selain daripada pengunjung Kuching, Fiqhri, 19, dari Kabong juga turut tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan pesta tersebut.
“Saya yang berasal dari Kabong juga tidak melepaskan peluang untuk datang memeriahkan pesta ini, yang mana saya merasa sendiri menyertai pertandingan bertandak,” katanya.
Pesta Telaga Air 2022 ini telah diadakan bermula sejak 26 Mac sehingga 27 Mac yang mana terdapat banyak aktiviti-aktiviti yang dianjurkan seperti pertandingan berbasikal berkumpulan, pertandingan nyanyian, poco-poco, bertandak, sepak takraw, memasak dan sukan rakyat.-TVS