KHARKIV, 27 Mac : Tiga penghibur memakai kostum Spiderman, Batman dan arnab merah jambu untuk menghiburkan sekumpulan kanak-kanak yang sedang berlindung di stesen kereta api bawah tanah di Ukraine, kelmarin, lapor Reuters.
Berikutan keadaan perang masih belum menunjukkan tanda – tanda akan berakhir dalam tempoh terdekat, stesen metro ini menjadi tempat perlindungan kepada puluhan keluarga yang tidur dalam khemah yang dipasang.
Alexei yang ‘menyamar’ sebagai Spiderman berkata, dia ingin memberi sumbangan dengan ‘membawa kegembiraan dan senyuman’ kepada kanak-kanak di situ yang bingung dengan situasi di ‘dunia luar’.
“Saya dan rakan – rakan tidak akan meninggalkan kanak-kanak ini begitu sahaja,”katanya.
Bagi Artyom yang ‘berlakon’ sebagai Batman pula, dia gembira apabila melihat perubahan kanak – kanak di situ sejak kehadirannya.
“Suasana di sini berbeza sekarang apabila kanak – kanak dilihat bertenaga dan sudi mengambil bahagian dalam aktiviti yang kami anjurkan.
“Ketika mula tiba, mereka kelihatan tidak bermaya. Ya, saya gembira berada di sini untuk mereka,”katanya.
Sementara itu, Reuters turut melaporkan, situasi berhampiran bandar berkenaan masih tidak banyak berubah apabila letupan terus berlaku yang mengakibatkan kemusnahan premis perniagaan dan kenderaan orang awam. -TVS