KUALA LUMPUR, 26 Mac: WWF Malaysia, dengan kerjasama JomRun, akan menganjurkan larian maya untuk alam semula jadi atau Earth Hour Virtual Run for Nature sempena Earth Hour hari ini.
Selain itu, Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur yang merupakan mercu tanda ikonik negara, akan memadam lampu di bangunan masing-masing selaras dengan tradisi Earth Hour sebagai sebahagian daripada dua aktiviti utama yang diadakan bagi menyambut ulang tahun ke-50 usaha memelihara alam semula jadi WWF Malaysia tahun ini.
“Earth Hour diasaskan untuk menyatukan dunia dalam usaha menyokong penduduk dan planet bumi. Visi kami adalah untuk mewujudkan kesan persekitaran yang positif melalui kuasa khalayak.
“Tahun ini, Earth Hour lebih bermakna kerana ia merupakan ulang tahun ke-50 usaha memelihara alam semula jadi WWF Malaysia,” menurut Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia Sophia Lim dalam kenyataan media.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran bagi larian maya, layari laman sesawang JomRun di https://www.jomrun.com/event/WWF-Malaysia-Earth-Hour-Virtual-Run-for-Nature-2022 atau aplikasi mudah alih JomRun.
Pendaftaran ditutup pada 22 April. – TVS