Kredit gambar: Polis Petaling Jaya
PETALING JAYA, 25 Mac: Seorang penyanyi dan komposer yang diberkas di kediamannya dalam satu serbuan di sebuah kondominum semalam kerana disyaki menanam pokok ganja dan memproses ganja direman tujuh hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berumur 47 tahun yang mempunyai rekod penyalahgunaan dadah 10 tahun lepas itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B akta sama.
Beliau berkata ketika serbuan pada 5.30 petang semalam di kondominium di Kota Damansara berdasarkan maklumat dan risikan itu, polis menemukan 17 pokok dalam pasu di almari, di dapur dan di dalam sebuah bilik di rumah itu, dipercayai pokok ganja dianggarkan bernilai lebih kurang RM10,200.
“Selain itu, pasukan serbuan turut menemukan bekas plastik di atas kabinet dapur yang berisi dua plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja dengan berat kira-kira 214 gram dianggarkan bernilai lebih RM10,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.
Katanya, dalam serbuan itu turut disita sebuah kereta jenis Toyota Wish, satu alat sauna yang diubah suai sebagai rumah hijau buatan (artificial green house) dan wang tunai RM700, dan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM40,700.
“Turut dirampas botol berisi cecair pemusnah serangga, alat pengukur (cecair) pemusnah serangga serta alat pengudaraan di rumah yang turut digunakan sebagai studio untuk menghasilkan lagu,” katanya.
Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan sumber suspek memperolehi ketulan ganja yang mampat itu dan sumber benih ganja yang ditanam namun percaya dadah itu adalah untuk kegunaan sendiri lelaki itu.
Katanya, ujian air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis ganja.
“Rumah tersebut adalah milik suspek sendiri dan kita juga percaya suspek belajar untuk memproses pokok ganja dan membina artificial green house itu melalui media sosial,” tambahnya. – TVS