KANOWIT, 25 Mac : Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Alexander Vincent membuat laporan polis susulan ‘kemunculan’ surat perletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) cawangan itu.
Menurut sumber, Alexander membuat laporan di Balai Polis Kanowit semalam bagi menafikan dakwaan itu.
Jelas sumber itu, bekas wakil rakyat itu mengesyaki tanda tangannya yang terdapat dalam surat itu telah dipalsukan.
“Pada 10 Mac lepas, Alexander menerima mesej daripada Setiausaha PRS Cawangan Ngemah memaklumkan tentang surat berkenaan.
“Empat hari lepas, beliau telah dihubungi pula oleh Timbalan Pengerusinya yang memberitahu surat itu telah dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan PRS yang berlangsung pada 17 Mac lepas,” jelas sumber berkenaan kepada TVS.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong ketika dihubungi mengesahkan laporan itu.
“Kes berkenaan kini disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial , Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen,” katanya. -TVS