KUCHING, 25 Mac : Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang mengalami sesak nafas ketika mendaki Gunung Bung Muan, di Bau petang semalam diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.29 petang semalam yang memaklumkan remaja berkenaan tidak mampu turun berikutan masalah kesihatan yang dialaminya.
“Sehubungan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau yang diketuai Penguasa Bomba Kanan II Daniel Teo Wee Chiet bersama empat anggota ditugaskan untuk misi itu.
” Pasukan Bomba sampai ke lokasi mangsa berada iaitu sekitar 3.7 kilometer (KM) dari kaki gunung selepas pendakian selama dua jam tiga minit,” jelas kenyataan berkenaan.
Misi untuk menurunkan mangsa berdepan kesukaran apabila laluan ke bawah curam dan sempit selain berat badan mangsa mencecah 110 kilogram (kg).
Bagaimanapun remaja berkenaan dan enam rakannya yang mendaki bersama berjaya dibawa turun pada pukul 10.22 malam tadi.
Difahamkan, mangsa yang keletihan dibawa oleh keluarganya ke sebuah pusat perubatan swasta untuk menerima rawatan. -TVS