KUCHING, 24 Mac: Polis berjaya menahan dua lelaki yang disyaki aktif melakukan kegiatan samun premis 24 jam di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua suspek diberkas awal pagi semalam.
Katanya, ketika ini usaha mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai menjadi ahli kumpulan itu sedang giat dijalankan.
“Kedua -dua suspek itu masing-masing berusia 22 dan 25 tahun serta salah seorang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan narkotik dan kes curi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, ujian saringan air kencing yang dijalankan pula mendapati kedua-duanya positif dadah jenis amphetamine.
Susulan penahanan itu, Ahsmon memberitahu, polis turut merampas satu unit telefon bimbit, dua botol minuman keras, beberapa helai wang kertas, topi keledar dan sehelai jaket.
“Siasatan awal mendapati arak yang dirampas itu sama dengan yang dilaporkan dicuri di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultan Tengah beberapa jam sebelum mereka ditahan,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan. – TVS