KUALA LUMPUR, 24 Mac: Kira-kira dua juta penerima vaksin Sinovac diunjurkan berisiko untuk hilang status vaksinasi lengkap mereka pada 1 April ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, ketika ini sebanyak 2.09 juta penerima Sinovac belum menerima dos penggalak.
“Mengikut unjuran kita untuk seminggu lagi, Kementerian Kesihatan unjurkan bahawa mungkin akan ada dua juta penerima vaksin berisiko hilang status vaksinasi lengkap mereka pada 1 April,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Sebelum ini, tempoh untuk mendapatkan dos penggalak bagi penerima vaksin itu sebelum status vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera dinyatakan sebagai tidak lengkap berakhir 28 Feb lepas, sebelum ia dilanjutkan kepada 31 Mac ini.
Khairy berkata, bagi menggalakkan penerima vaksin jenis itu mendapatkan suntikan penggalak, perbincangan dengan Singapura juga turut dilakukan susulan persetujuan kedua-dua negara membenarkan pengembara lengkap vaksinasi merentas sempadan darat tanpa menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19. – TVS