KUCHING, 24 Mac: Agensi Pembangunan Wilayah Utara Sarawak (NRDA) mempunyai perancangan teliti untuk mengeluarkan masyarakat daripada kancah kemiskinan dengan melibatkan mereka dalam agenda pembangunan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pada masa sama, NRDA komited dengan visinya menjadi pemangkin kepada pembangunan wilayah di utara negeri ini.
“Ini adalah tanggungjawab kita secara bersama yang mahu mengangkat masyarakat supaya tidak lagi tersungkur dengan masalah kemiskinan dan seterusnya menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Awang Tengah berkata demikian ketika berucap merasmikan Socio Economy Lab anjuran NRDA yang berlangsung dua hari bermula 22 Mac dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari turut menyeru peserta makmal pembangunan sosio ekonomi NRDA yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin masyarakat dan pegawai kerajaan untuk mencurahkan sepenuh tenaga dan idea dalam memantapkan rencana pembangunan di utara Sarawak.
” Saya berharap agar makmal tersebut dijadikan panduan dalam melaksanakan pembangunan menyeluruh yang memberi impak besar kepada rakyat,” katanya. – TVS