SINGAPURA, 24 Mac: Singapura akan membuka semula sempadannya kepada semua pengembara yang lengkap divaksin dari negara atau wilayah dalam Kategori Perjalanan Umumnya dan akan beralih kepada Rangka Kerja Perjalanan Bervaksin baharu mulai 1 April 2022.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata di bawah Rangka Kerja baharu itu, semua pengembara yang lengkap divaksin dari mana-mana negara atau wilayah akan dibenarkan memasuki Singapura tanpa kuarantin, selagi mereka tidak melawat mana-mana negara atau wilayah dalam Kategori Terhad republik itu dalam tujuh hari.
“Pada masa ini tiada negara atau wilayah dalam Kategori Terhad,” kata CAAS dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan peralihan ke Rangka Kerja Perjalanan Bervaksin, CAAS berkata semua pengaturan Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) dan Pembukaan Sepihak (UO) sedia ada akan ditamatkan.
Awal hari ini, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata republik itu akan melonggarkan peraturan perjalanan rentas sempadan memandangkan keadaan Omicron kini terkawal.
“Sebelum ini, kita berhati-hati kerana belum pasti mengenai kesan Omicron. Hampir semua kes kita adalah domestik, yang berpunca daripada komuniti,” kata Lee dalam kemas kininya mengenai situasi COVID-19 republik itu yang disiarkan secara langsung di sini.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan republik itu menambah negara juga sedang berusaha ke arah penyambungan semula sepenuhnya perjalanan darat dengan Malaysia untuk pengembara yang lengkap divaksin.
“Perincian mengenai langkah-langkah sempadan yang tepat bagi pengembara yang lengkap divaksin untuk memasuki Singapura melalui sempadan darat akan diumumkan bersama Malaysia,” kata kementerian itu. – TVS