Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malaysia kalahkan Filipina 2-0
Malaysia kalahkan Filipina 2-0

Bola Sepak: Malaysia atasi Filipina 2-0

Kredit gambar: Persatuan Bola Sepak Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Skuad Harimau Malaya memulakan era baharu di bawah Ketua Jurulatih dari Korea Selatan Kim Pan Gon dengan bergaya apabila menewaskan Filipina 2-0 pada aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1, saingan Siri Tiga-Negara FAS yang didominasi sepenuhnya pasukan negara, malam ini.

Pada aksi di Stadium Nasional di Singapura itu, pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Akhyar Abdul Rashid muncul pemain paling menyinar menerusi dua gol yang dijaringkan pada separuh masa pertama sekali gus menyaksikan impak positif dibawa Pan Gon terhadap corak pemainan pasukan negara.

Muhammad Akhyar yang dinobatkan sebagai Pemain Muda Harapan Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2019 berpeluang mencipta jaringan hatrik tetapi usahanya pada penghujung separuh masa pertama gagal menemui sasaran.

Pada aksi pertama skuad kebangsaan dalam siri perlawanan persahabatan di republik itu, anak buah Pan Gon berjaya menyajikan corak permainan terpuji apabila elemen seperti bersikap agresif, gerakan pantas dan hantaran kemas jelas dilihat pada 45 minit pertama berdepan pasukan di ranking ke-129 dunia itu.

Tanpa menunggu lama, pasukan negara berjaya mendahului seawal minit ketiga selepas Muhammad Akhyar bijak memanfaatkan hantaran rakan sepasukan La’Vere Lawrence Corbin-Ong dari sebelah kiri, sebelum menggelecek pemain pertahanan lawan dan melepaskan rembatan deras kaki kanan.

Skuad kebangsaan hampir menggandakan jaringan tiga minit berselang, namun sepakan penyerang Muhammad Syafiq Ahmad pada minit kelima hanya menggegar palang gawang sebelum gol kedua pasukan negara akhirnya hadir menerusi penyudah Muhammad Akhyar pada minit ke-24.

Jaringan kedua peribadi beliau pada perlawanan itu berpunca dari satu gerakan serangan balas yang pantas bermula dengan hantaran berkualiti Safiq Rahim kepada Muhammad Syafiq di sebelah kanan yang kemudian bijak melorongkan bola ke sebelah kiri untuk Muhammad Akhyar meledak jaringannya.

Beliau kemudian terlepas peluang keemasan untuk meletakkan Malaysia selesa mendahului dengan kelebihan tiga jaringan sebelum tamat separuh masa pertama apabila gagal merembat bola tepat ke arah gawang selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid dan menggelecek pemain pertahanan lawan.

Bersambung babak kedua, Pan Gon membuat lima pertukaran dengan membawa masuk dua pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi selain Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak, Muhamad Nor Azam Abdul Azih dan Muhammad Safawi Rasid dalam usaha menambah jaringan.

Percaturan itu yang dilihat turut memberi impak positif terhadap permainan pasukan negara namun gagal menghasilkan jaringan diharapkan dengan percubaan terbaik daripada Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-61 berjaya ditepis keluar penjaga gol Neil Etheridge.

Dalam pada itu, Filipina yang gagal mencipta percubaan tepat ke arah gawang pasukan negara pada separuh masa pertama terus dihimpit kesukaran berdepan anak buah Pan Gon pada babak kedua dengan skuad “Azkals” terpaksa akur menerima kekalahan pertama mereka berdepan Malaysia sejak 2012.

Sebagai rekod, Malaysia dan Filipina mencatat keputusan seri dalam lima pertemuan terakhir mereka.

Pasukan negara di ranking ke-154 dunia akan berdepan Singapura (ke-161) pada aksi berstatus sama di venue sama Sabtu ini bagi melengkapkan saingan Siri Tiga-Negara FAS yang berlangsung di republik itu.

 Skuad bimbingan Pan Gon akan menamatkan siri perlawanan persahabatan di Singapura, yang juga persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 Jun ini, dengan bertemu kelab tempatan Albirex Niigata FC pada 28 Mac ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan