Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Empat jam kejar bot nelayan asing, warga Vietnam antara yang ditahan

Kredit gambar: APMM

KUCHING, 23 Mac: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menahan dua bot nelayan asing yang disyaki dari Vietnam pada Isnin lalu.

Bot nelayan asing tersebut telah ditahan kerana menceroboh dan melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara pada jarak lebih kurang 120 batu nautika dari tenggara Tanjung Sirik.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman bin Md Yunus berkata, tangkapan pertama telah dikesan Kapal Maritim (KM) Arau pada 6.30 pagi di perairan Beting Patinggi Ali.

“KM Arau telah mengambil masa hampir empat jam untuk memintas dan akhirnya berjaya menahan bot tersebut setelah dihimpit rapat.

“Bot kedua pula dikesan pada jam 11.30 pagi dan KM Arau telah mengambil masa hampir satu jam sebelum berjaya menahan bot tersebut,” katanya.

Hasil daripada pemeriksaan mendapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan sebarang aktiviti perikanan di perairan negara.

“Seramai 33 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 19 hingga 60 tahun turut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Selain itu, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 22 ribu liter serta hasil tangkapan sekitar 30 tan ikan campur turut dirampas.

“Keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM2.5 juta.” jelasnya lagi.

Kesemua krew dan bot diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Jeti APMM KOMTAS, Muara Tebas untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menangkap ikan di perairan negara manakala Tekong dan kesemua kru turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan