KUALA LUMPUR, 21 Mac : Nowruz, menandakan permulaan musim bunga, disambut lebih 300 juta orang di seluruh dunia pada Isnin termasuk sebahagian komuniti ekspatriat di Malaysia.
Selain dikenali Norouz, Norooz, Navruz, Nauryz dan lain-lain, perayaan itu merupakan sambutan paling ditungu-tunggu dan cuti umum penting di Asia Tengah, Balkan, Caucasus, Timur Tengah dan kawasan lain.
Kedutaan Iran, Tajikistan dan Uzbekistan di Malaysia menerusi satu kenyataan bersama kepada Bernama memaklumkan sambutan itu memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan sesama rakyat berdasarkan rasa hormat-menghormati, mengamalkan keamanan dan kejiranan yang baik.
“Tradisi dan ritualnya mencerminkan adat budaya dalam tamadun Timur dan Barat, mempengaruhi tamadun tersebut menerusi nilai murni dan moral kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.
Nowruz bermaksud “hari baharu,” sebagai simbol mengingati perubahan alam semula jadi dan kesannya terhadap kehidupan manusia.
Menurut kedutaan, “kelahiran semula alam semula jadi berlaku ketika musim bunga dan ia mencipta permulaan baharu untuk manusia, suatu inspirasi Nowruz yang tidak dapat dilupakan”.
Nowruz secara tradisinya disambut dengan memberikan ‘haft-seen’ atau koleksi tujuh barang bermula huruf ‘s’ melambangkan harapan berbeza sempena tahun baharu.
Tujuh unsur itu Sabzeh (rumput) melambangkan kelahiran semula; Serkeh (cuka) melambangkan umur dan kesabaran; Senjed (oleaster) melambangkan cinta; Sir (bawang putih) melambangkan ubat; Sib (epal) melambangkan kecantikan dan kesihatan; Somaq (serbuk sumac) melambangkan warna matahari terbit; dan Samanu (samanoo) melambangkan kemewahan.-TVS