KUCHING, 21 Mac : Sarawak berhasrat menjadi destinasi utama bagi eko-pelancongan dan perniagaan di rantau Asia melalui pemerkasaan pemuliharaan warisan, budaya dan biodiversiti.
Naib Presiden Institut Pengurusan Sarawak (MASA), Profesor Dr Voon Boo Ho memaklumkan, negeri ini juga berhasrat menggalakkan pelaburan dan pembangunan dalam sektor pelancongan.
Oleh sebab itu organisasi tersebut telah menganjurkan sebuah forum hibrid bertemakan ‘perlancongan dan kesalinghubungan’ yang memberi tumpuan kepada strategi dan inisiatif kerajaan persekutuan dan negeri sejajar dengan strategi pembangunan Sarawak pasca COVID-19 (PCDS) 2030 serta membincangkan pelan induk pelancongan.
“Kesalinghubungan ini bukan sahaja secara fizikal, malah secara psikologi yang mana kesedaran tahap pengetahuan serta emosi mengenai orang luar rasa terhubung dengan Sarawak supaya mereka tahu dan cintakan Sarawak,” katanya.
Turut hadir dalam forum tersebut, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato Sri Nancy Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif Agile Business (AB) Consulting, Datuk Dr Amin Khan dan Setiausaha Tetap MOTAC, Hii Chang Kee sebagai ahli panel.
Selain itu, tujuan forum hibrid tersebut diadakan adalah untuk berkongsi maklumat dan pengalaman serta memberi cadangan untuk memulihkan industri pelancongan di Malaysia pasca COVID-19.
“Jadi MASA adalah sebagai badan pemikir dan memberi input kepada kerajaan, organisasi-organisasi lain termasuk para pelajar dan pada hari ini kita mempunyai pelajar tempatan dan juga pelajar dari China yang menyertai forum ini,” katanya lagi.-TVS