KUCHING, 19 Mac : Operasi pencarian Eric Chang di Sungai Muara Tebas yang memasuki hari ketujuh ditamatkan sepenuhnya pada hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, operasi dihentikan pada pukul 6 petang tadi.
” Pasukan akan meneruskan siasatan secara saintifik bagi merungkai petunjuk berkaitan,” katanya menerusi kenyataan media malam ini.
Ujar beliau, pasukan operasi yang terdiri daripada pelbagai agensi penguatkuasa telah melakukan pelbagai inisiatif dalam pencarian pencarian namun terbatas oleh beberapa faktor termasuklah bentuk muka bumi, ancaman binatang buas, cuaca dan keadaan air pasang surut.Â
” Pihak polis juga sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam mengenai kes tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat sejak hari pertama operasi dilancarkan,” katanya.
Sebelum ini, Eric Chang yang berusia empat tahun dilaporkan hilang pada 7 Mac lalu di rumah pengasuhnya di Taman Riverview, Bintawa dan laporan dibuat oleh keluarganya pada hari sama.
Susulan itu, polis menahan empat individu iaitu pasangan penjaga serta ibu dan ayah Eric.
Pada mulanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak – Kanak 2001 namun diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – TVSÂ