KUCHING, 19 Mac: Lee Zii Jia melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Seluruh England dengan penuh bergaya selepas menyingkirkan pemain nombor dua dunia, Kento Momota, malam tadi.
Sebelum perlawanan, Zii Jia yang juga juara bertahan dijangka akan menerima tentangan sengit daripada Momota yang mahu melunaskan dendam kekalahannya pada separuh akhir tahun lepas namun kejutan berlaku Arena Badminton Birmingham.
Serangan pantas Zii Jia tanpa menyaksikan dia melakar kemenangan mudah 21-7 ke atas wakil Jepun itu , yang juga merupakan kemenangan terbesarnya setakat ini ketika bertemu Momota.
Pada satu ketika, pemain kelahiran Alor Setar itu selesa mendahului lawannya, 17-1.
Memasuki set kedua, bekas juara dunia itu mula mengimbangi permainan Zii Jia dan menang dengan keputusan 21-13 sekaligus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set ketiga sekali lagi menunjukkan kematangan Zii Jia yang mengawal permainan dan lebih tenang apabila menoktahkan impian Momota dengan keputusan 21-11.
Pada tahun lepas, Zii Jia menewaskan pemain itu di separuh akhir dengan keputusan 21-16 dan 21-19.
Menanti wakil negara pada separuh akhir esok adalah pemain India, Lakshya Sen. – TVS