Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Yayasan PETRONAS sumbang kelengkapan sekolah dan peralatan kebersihan diri kepada 5,300 pelajar Sarawak

ByFreddy Bohari

Gambar atas: Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn, menyerahkan sumbangan ‘Back To School’ kepada guru besar SK Goebilt di auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di sini pada Jumaat.

KUCHING, 19 Mac: Yayasan PETRONAS menyumbang set kelengkapan sekolah asas dan peralatan kebersihan diri yang baharu kepada kira-kira 5,300 pelajar rendah dan menengah di negeri ini di bawah program Back To School 2022’ (BTS 2022).

Menurut satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh yayasan tersebut pada Jumaat, setiap pelajar akan menerima satu set seragam sekolah, sepasang kasut hitam, peralatan bilik darjah yang merangkumi beg sekolah, alat tulis, botol air dan bekas makanan, peralatan kebersihan yang mengandungi pelitup muka, tuala tangan, satu set pakaian sukan, buku nota aktiviti yang memuatkan pelan pelajaran yang disusun di bawah Program Duta Guru Yayasan PETRONAS, dan set geometri bagi pelajar sekolah menengah.

Pek BTS 2022 telah diserahkan kepada 30 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Padawan, Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Saratok, Sarikei, Meradong, Kanowit, Sibu, Selangau, Mukah, Dalat, Daro, Kapit, Song, Julau, Bintulu, Tatau/Sebauh, Subis, Belaga, Miri, Baram, Limbang dan Lawas, untuk diagihkan kepada pelajar terpilih dari 195 sekolah di seluruh Sarawak.

Menurut Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Zulaihi Mantali, ketika melancarkan program BTS 2022 di sini pada Jumaat, PETRONAS juga menyantuni pelajar sekolah menengah bawah buat pertama kali pada tahun ini sejak program itu dilancarkan pada 2013.

“Seramai 3,200 pelajar rendah dari 143 sekolah dan 2,100 pelajar menengah dari 52 sekolah di negeri ini akan menerima sumbangan BTS 2022 daripada Yayasan PETRONAS,” katanya.

“Lebih 500,000 isi rumah M40 telah turun ke dalam kategori B40 disebabkan oleh pandemik COVID-19. Pada waktu yang sama, kos keperluan sekolah juga sudah meningkat. Maka itu, kami percaya pelajar sekolah menengah bawah juga harus dibantu. Kami berharap sumbangan kami dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan mendorong pelajar untuk melanjutkan pengajian mereka.”

Pada tahun ini, seramai 36,000 pelajar B40 di Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur, Labuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Putrajaya, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu akan mendapat manfaat daripada program BTS 2022, yang akan dijalankan dari pertengahan Mach hingga April 2022.

Program BTS merupakan sebahagian daripada fokus pendidikan Yayasan PETRONAS yang selari dengan Agenda Kemampanan PETRONAS dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan