Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Menanti ‘kemeriahan’ Pasar Serikin yang hampir terkubur dibadai pandemik

ByOdleen Catherny

BAU, 17 Mac : Selama 27 tahun beroperasi sejak 1992, Pasar Serikin yang terletak di sempadan Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia telah meraih ‘popularitinya’ yang tersendiri.

Apa tidaknya, setiap hujung minggu, pasar berkenaan meriah, bertukar menjadi tapak pesta kerana dikunjungi oleh ribuan pengunjung dari kedua – dua buah negara untuk aktiviti membeli – belah.

Konsep perniagaan di pasar ini hampir sama dengan Pasar Pengkalan Kubor, di Tumpat, Kelantan dan Wang Kelian, di Perlis yang mana kedudukannya di ‘pintu sempadan’ membolehkan rakyat dari kedua – dua negara mendapat manfaat ekonomi.

Bagaimanapun, itu cerita dulu, sebelum Mac 2020 atau lebih tepat lagi, sebelum Kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana pintu sempadan negara ditutup bagi mengekang penularan ‘fasa satu’ pandemik COVID-19.

Esok , genap dua tahun tarikh keramat itu yang menyaksikan aktiviti perniagaan di situ terpaksa ‘direhatkan’.

Hari ini, wakil TVS berkesempatan ‘melawat’ pasar ini yang mana suasana sunyi seperti selepas dilanda garuda jelas terpancar.

Tidak berlebihan juga dikatakan keadaannya persis ‘pekan hantu’ kerana yang menyambut penulis hanyalah deretan kedai – kedai kosong yang semakin usang.

Suram, situasi semasa menunjukkan aktiviti perniagaan di sini lumpuh.
Suasana di Pasar Serikin sebelum dilanda pandemik COVID-19. Kredit Google Image.

Penduduk setempat yang ditemui memberitahu, mereka begitu rindukan kemeriahan sebelum ini.

Bagi peniaga gerai makanan, Rini Nuraini, 48, dia mahukan aktiviti perniagaan di situ pulih kembali.

Katanya, suasana sekarang sangat sunyi kerana banyak gerai yang sudah ditutup kerana ‘kekurangan’ pengunjung dan sudah pasti perniagaannya terjejas teruk.

Bagaimanapun katanya, pengumuman kerajaan berkenaan pembukaan sempadan negara dalam masa terdekat memberikan harapan kepada golongan perniaga sepertinya.

“Saya harap apabila 1 April 2022 menjelma, sempadan dibuka seperti yang diumumkan dan orang luar boleh keluar masuk,” katanya.

Peniaga gerai makanan, Rini Nuraini.

Senada dengan Rini, peruncit, Lucia Lucy, 47 , turut berkongsi keluh kesah tentang perniagaannya yang hampir gulung tikar.

“Semenjak COVID-19 melanda pada 2020, perniagaan saya sangat terjejas teruk.

Menjadi perkara biasa apabila sukar untuk mendapat pelanggan yang singgah menjamu selera,”katanya.

Peruncit, Lucia Lucy,

Sementara itu, pengusaha kraftangan rotan, Sandra Trinata, 35, mengakui pada mulanya dia berasa ‘pelik’ apabila melihat pasar berkenaan bertukar sunyi namun memasuki tahun ketiga pandemik, perlahan – lahan, dia ‘membiasakan diri’ dengan keadaan itu.

Sebelum ini, laporan media menyebut, gerai-gerai di Pasar Serikin akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan semula sistem perparitan di situ.

Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam berkata , Majlis Daerah Bau (MDB) melaksanakan projek berkenaan kerana permintaan penduduk di kampung itu yang mahukan sistem perparitan diperbaiki.

“Setakat ini, proses pembinaan telah siap.

Bagi pembukaan sempadan pula, kami masih menunggu arahan lanjut,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, proses naik taraf selepas ini lebih memfokuskan kepada jalan raya sedia ada di kawasan gerai.

“Pada masa yang sama , kerja pembinaan jalan ke sempadan juga giat dijalankan,” jelasnya ketika ditanya mengenai persediaan pembukaan sempadan.

ADUN Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan