SIBU, 16 Mac: Seorang lelaki warga emas maut selepas skuter yang ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah kereta di Jalan Dr. Wong Soon Kai, dekat sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Dr. Collin Babat berkata, dalam kejadian pada pukul 9.00 pagi tadi, mangsa yang berusia 71 tahun dari arah lampu isyarat jalan itu menuju ke pusat bandar.
Katanya, setibanya di lokasi itu, mangsa secara tiba-tiba masuk ke simpang kiri dan melanggar kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki lima sekeluarga.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang dikenali sebagai Kho Eng Keng mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 9.45 pagi oleh petugas kesihatan dari Hospital Sibu,”katanya menerusi kenyataan media hari ini,
Menurut Collin, pemandu kereta yang merupakan seorang wanita berusia 23 tahun dan suaminya berusia 34 tahun serta tiga anak mereka tidak mengalami seberang kecederaan.
Jelasnya, mayat dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) , Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – TVS