Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Hati-hati dengan pelaburan dalam talian, peningkatan penipuan di Telegram – SC

ByBernama

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengingatkan orang ramai mengenai peningkatan mendadak penipuan pelaburan yang dipromosikan dalam aplikasi Telegram, dengan ada yang menawarkan pulangan tidak realistik sehingga 1,000 peratus dalam masa 24 jam.

Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata sejak Januari 2022, ia menerima sejumlah 47 aduan dan pertanyaan mengenai skim pelaburan haram yang dipromosikan melalui Telegram.

Skim penipuan ini menawarkan peluang pelaburan yang tidak wujud serta menjanjikan pulangan yang sangat menarik dan bebas risiko dalam jangka masa yang singkat.

“Mereka ini kebiasaannya menawarkan pulangan yang tidak realistik sehingga 1,000 peratus dalam masa 24 jam atau beberapa jam.

“Pihak ini menggunakan pelbagai nama untuk menjalankan aktiviti penipuan pelaburan dan mereka juga boleh menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen dengan menggunakan nama, logo, kelayakan, laman sesawang dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram tersebut,” katanya.

Menurut SC mereka juga mewujudkan kumpulan awam di Telegram bagi mempromosikan pakej pelaburan yang kebiasaannya disertakan dengan testimoni palsu dan juga diiklankan sebagai patuh Syariah.

Pelabur yang berminat akan diminta untuk menghantar mesej terus kepada wakil untuk memulakan pelaburan dalam pelbagai pakej yang ditawarkan dan sering diarahkan untuk mendepositkan wang ke dalam akaun bank peribadi individu yang mendakwa mewakili entiti yang sah, dan/atau ke dalam akaun korporat yang tidak berkaitan. 

Bagi mendapatkan kepercayaan dan menarik mangsa untuk tidak curiga, pelaku akan mendakwa bahawa entiti mereka dan/atau skim pelaburan tersebut telah diluluskan oleh pihak berkuasa kewangan, tambahnya.

“Oleh itu, SC ingin mengingatkan pelabur supaya sentiasa berhati-hati dalam menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan tinggi yang tidak realistik dengan risiko yang sedikit atau tiada.

“Pelabur juga tidak seharusnya memindahkan wang ke dalam akaun bank peribadi seseorang jika diarahkan,” katanya, sambil menambah orang ramai perlu merujuk kepada Senarai Peringatan Pelabur SC  yang mengandungi butiran laman sesawang, produk pelaburan, syarikat dan individu yang beroperasi tanpa kebenaran, sebelum melabur.

Orang ramai yang mengesyaki bahawa mereka telah dihubungi oleh firma atau individu yang tidak dibenarkan dan yang menawarkan skim dengan pulangan tidak realistik boleh membuat laporan kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel: aduan@seccom.com.my. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan