KUCHING, 15 Mac: Kawasan perairan Sungai Muara Tebas yang luas dan faktor cuaca tidak menentu ketika ini menjadi cabaran utama kepada pihak berkuasa dalam operasi mencari Eric Chang Wei Jie yang dilaporkan hilang sejak sembilan hari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, sejak operasi dilancarkan pada Ahad lepas di situ, polis turut dibantu oleh agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menggerakkan aset masing – masing.
“Seperti yang dapat dilihat oleh orang ramai, itulah cabaran dihadapi ketika ini (oleh pasukan penguatkuasa) dalam operasi pencarian,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Eric Chang yang berusia empat tahun dilaporkan hilang pada 7 Mac lalu di rumah pengasuhnya di Taman Riverview, Bintawa dan laporan dibuat oleh keluarganya pada hari sama.
Susulan itu, polis menahan empat individu iaitu pasangan penjaga serta ibu dan ayah Eric.
Siasatan polis mendapati kesemua mereka mempunyai 17 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah komersial dan dadah manakala ujian air kencing yang dilakukan mendapati mereka turut positif dadah.
Hari ini polis mengesahkan perintah reman terhadap penjaga disambung manakala ibu dan bapa mangsa dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.
Jarak tempat mangsa dilaporkan hilang dengan kawasan operasi ialah sejauh 22 kilometer (km) dan sehingga kini masih ‘menjadi persoalan’ bagaimana kanak – kanak itu ‘pergi’ sejauh itu.
Dalam pada itu, Ahsmon turut menegaskan, polis tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang tular mengatakan kanak – kanak itu dibunuh dan mayatnya telah dicampak di sungai itu.
“Mereka yang menyebarkan maklumat itu (dibunuh dan dibuang) akan berdepan tindakan undang – undang,” katanya.
Perkembangan operasi menyaksikan pihak berkuasa memperluaskan zon operasi mencari hingga tiga batu nautika dari muara sungai ke Tanjung Po, berhampiran Taman Negara Bako menggunakan bot PSC 11 milik PPM, bot aluminium (JPBM) dan bot kilat yang digunakan oleh APMM.
Memasuki hari ketiga operasi hari ini, peralatan teknologi dron turut digunakan oleh pihak berkuasa.
Kes sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak – Kanak 2001 namun pada Ahad lepas, polis memaklumkan kertas siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – TVS