KUCHING, 13 Mac : Pejabat Meteorologi Sarawak menjelaskan tidak mengesan kejadian gempa bumi yang didakwa oleh pengguna media sosial berlaku di beberapa kawasan di negeri ini pada pukul 6 pagi tadi.
Jurucakapnya ketika dihubungi berkata, gelombang yang dikesan tidak sepadan dengan aktiviti gempa bumi.
“Gegaran mungkin berpunca daripada aktiviti kuari di kawasan terbabit,” katanya.
Sejak awal pagi tadi, penduduk di sekitar Padawan, Batu Kawa, Kota Samarahan, Siburan dan Asajaya mendakwa berlaku gegaran pagi tadi.
Sementara itu, sumber di Markas 1 Divisyen, Kem Muara Tuang, Kota Samarahan ketika dihubungi TVS juga menafikan mengadakan latihan ketenteraan pagi tadi.
” Sebelum ini memang terdapat perancangan untuk melakukan eksesais Satria Perkasa bermula 11 hingga 23 Mac ini yang melibatkan bahan letupan dan kenderaan perisai namun ditangguhkan kerana terdapat anggota yang terkena jangkitan COVID-19,” katanya. -TVS