KUCHING, 12 Mac: Kajian oleh Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mendapati sub varian BA.2 Omicron kini telah menggantikan varian asal Omicron yang dominan di Sarawak ketika ini.
Sehubungan itu, Pengarahnya, Profesor Dr. David Perera menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap peningkatan risiko penularan bagi sub-varian baharu itu.
Katanya, sebelum ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa sub-varian BA.2 ini adalah 30 peratus lebih cepat merebak daripada varian asal Omicron BA.1 yang diketahui sangat pantas merebak.
“Sebanyak 686 sampel kes positif COVID-19 telah berjaya disusun oleh IHCM bermula 11 Januari hingga 28 Februari lepas.
Kesemua telah dikesan sebagai varian Omicron BA.1.1 529,” katanya menerusi laporan terbaharu kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah hari ini.
Menurut Perera, kesemua sampel mewakili kes positif yang diperoleh di seluruh Sarawak.
Jelas beliau, beberapa sub-varian terdiri daripada 16 BA.1, 339 BA. 1.1 dan 331 BA.2 turut dikesan dan sepanjang minggu terakhir Februari, sub-varian BA.2 mewakili lebih 90 peratus daripada semua sampel yang diuji ketika itu.
“Perkembangan ini menunjukkan bahawa sub-varian BA.2 kini telah menggantikan varian BA.1 Omicron asal sebagai strain yang mendominasi di Sarawak, katanya.
Perera seterusnya meminta orang ramai supaya peka dengan risiko penularan komuniti yang semakin meningkat.
“Mereka harus mendapatkan suntikan penggalak dengan segera jika mereka belum melakukannya,” katanya. – TVS