Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
KUCHING, 12 Mac : Pemain boling remaja Sarawak, Musayyar Khalid yang menjuarai kategori remaja Kejohanan Boling Kebangsaan Kali Ke-44 semalam mendedahkan dia berusaha selama tujuh tahun untuk merasai nikmat bergelar juara remaja kebangsaan.

Tujuh tahun kejar impian bergelar juara kebangsaan – Musayyar

KUCHING, 12 Mac: Pemain boling Sarawak, Musayyar Khalid yang menjuarai kategori remaja pada Kejohanan Boling Kebangsaan Kali Ke-44 semalam mendedahkan dia mencuba selama tujuh tahun untuk mencapai impiannya bergelar juara.

Atlet kelahiran Miri itu berkata, kejayaan semalam merupakan antara detik manis sepanjang kariernya.

“Tiada kata dapat menggambarkan perasaan saya sekarang ini.

Saya bersyukur kerana selepas tujuh tahun menunggu, akhirnya dapat meraih satu gelaran juara remaja Malaysia,” katanya kepada TVS.

Pada pusingan akhir di Pusat Boling Sunway Megalanes, Bandar Sunway semalam, atlet berusia 21 tahun itu tercicir di tangga kelima selepas separuh pertandingan apabila sekadar melakukan catatan 205, 211, 177 dan 209 pin.

Ketika itu, Musayyar ketinggalan 92 pin kepada pendahulu, Muhammad Hazim Alihanafiah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Musayyar yang masih segar dengan kejayaan meraih emas acara berpasukan lelaki Kejohanan Antara Negeri , dua hari lepas melakukan kebangkitan menakjubkan pada empat perlawanan terakhir.

Dia menjatuhkan 246, 223, 236 dan menamatkan permainan dengan 289 pin untuk jumlah keseluruhan 1,796 pin serta memintas Muhammad Hazim dengan kelebihan 61 pin.

Wakil Pulau Pinang, Muhammad Hariz Adlan menamatkan saingan di tempat ketiga dengan jatuhan 1,658 pin.

Musayyar mengakui, pelbagai rintangan terpaksa diharungi dalam kariernya sebagai pemain boling sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 2020 yang menyebabkan dia tidak dapat berlatih selama 18 bulan.

“Apabila dapat turun semula ke gelanggang, saya berdepan kesukaran untuk mendapatkan rentak permainan namun tetap meneruskan latihan sebanyak lima kali seminggu,” katanya.

Musayyar yang menetap di Kuala Lumpur berkata, dua minggu sebelum kejohanan bermula, dia pulang ke Sarawak untuk berlatih bersama pasukan negeri.

“Kejayaan ini tidak menjadikan saya berasa selesa sebaliknya akan terus berusaha untuk mencapai sasaran yang lebih besar lagi,” katanya.

Katanya, pada Jun depan, dia akan menyertai Kejohanan Cabaran Remaja Brunswick di Petaling Jaya dan menyasarkan untuk menamatkan cabaran di kedudukan podium. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan