Kredit gambar: AP
WASHINGTON, 12 Mac: Dua wanita maut manakala sembilan lagi cedera selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh ruang makan terbuka sebuah restoran di barat laut Washington, D.C. pada Jumaat, lapor Xinhua.
Siasatan awal mendapati SUV yang dipandu oleh seorang lelaki warga emas hilang kawalan sebelum merempuh restoran berkenaan, kata Komander Duncan Bedlion, Jabatan Polis Metropolitan.
“Bukti menunjukkan kemalangan ini tidak disengajakan,” kata Bedlion.
Lapan mangsa cedera dibawa ke hospital dan lima daripadanya dalam keadaan kritikal, termasuk dua wanita yang kemudian disahkan meninggal dunia.
Nahas berlaku sekitar 12:18 tengah hari ketika kebanyakan pelanggan sedang menjamu selera di luar Parthenon, sebuah restoran Greek dan ruang rehat bersebelahan kejiranan Chevy Chase berhampiran Maryland. – TVS