KUALA LUMPUR, 12 Mac: “Masih belum berakhir.”
Ini senario terkini selepas dua tahun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020 yang setakat ini menjangkiti lebih 455 juta orang di seluruh dunia dan meragut enam juta nyawa.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada 9 Mac lepas mengingatkan, pandemik COVID-19 masih jauh untuk dianggap telah berakhir, meskipun jumlah kes serta kematian di seluruh dunia menunjukkan penurunan, dan beberapa negara menarik balik pelbagai sekatan.
“Pandemik ini tidak akan berakhir di mana-mana sehingga ianya berakhir di mana-mana. Banyak negara di Asia dan Pasifik masih menghadapi peningkatan kes serta kematian.
“Virus ini terus berevolusi dan kita terus mengalami halangan besar untuk mengedarkan vaksin, ujian serta rawatan di mana-mana yang diperlukan, “ katanya dalam sidang media yang dibuat secara maya di Geneva, Switzerland.
Senario di Malaysia, setakat pukul 11:59 malam 11 Mac 2022, kes kumulatif COVID-19 meningkat kepada 3,774,786 dengan kes kumulatif kematian sebanyak 33,643 kes. Kes pertama 2019-nC0V di Malaysia diumumkan pada 25 Januari 2020, melibatkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari 2020.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan, sebanyak 32,800 lagi kes harian baharu COVID-19 direkod pada 11 Mac termasuk 541 kes import (93.0 peratus atau 503 melibatkan warganegara).
Dengan kes kumulatif sebanyak 3,774,786, Malaysia kini di tangga 22 daripada 226 buah negara/wilayah yang dilanda Pandemik COVID-19.
Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lepas, dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk jumlah pesakit kategori 3, 4 dan 5 yang amat rendah iaitu 0.7 peratus. – TVS