KUALA LUMPUR, 11 Mac: Pemain perseorangan badminton nombor satu negara, Lee Zii Jia mara ke suku akhir Terbuka Jerman semalam selepas diberi tentangan sengit oleh pemain bukan pilihan.
Zii Jia, pemain ranking ketujuh dunia, tanpa diduga menerima asakan bertali arus, Christo Popov dari Perancis yang berjaya mengheret permainan ke set penentuan.
Juara berpasukan badminton Asia bulan lepas itu memulakan aksi dengan meyakinkan apabila menang 21-13 namun tewas 18-21 pada set kedua.
Arena pertandingan Westengergie Sporthalle, Muelheim menyaksikan Zii Jia kembali mengawal permainan pada set ketiga menerusi kemenangan 21-12 dalam aksi keseluruhan yang berlarutan dalam tempoh 61 minit menentang pemain ke – 62 dunia itu.
Pada aksi suku akhir hari ini, Zii Jia akan berdepan pemenang perlawanan antara Zhao Junpeng dari China dan pemain Korea Selatan Heo Kwanghee.
Semalam, juara bertahan All England itu terpaksa bermain perlawanan rubber set sebelum menewaskan Mark Caljouw dari Belanda 19-21, 21-13, 21-8 selepas 52 minit. – TVS