KUCHING, 11 Mac: Dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan seorang kanak-kanak Eric Chang Wei Jie pada 7 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua suspek yang ditahan merupakan penjaga kepada kanak- kanak itu.
Menurutnya, kertas siasatan kes berkenaan kini dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Eric, empat tahun dilaporkan hilang pada jam 7.42 malam, di Taman Riverview, Jalan Daya Bintawa pada 7 Mac lalu.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dengan dibantu penduduk setempat dan unit anjing pengesan (K-Nine) Polis Diraja Malaysia.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung mangsa boleh menghubungi Inspektor Hasmah Abdul Jalil menerusia talian 013-6852210 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching, 082-244444. – TVS