Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Industri penerbangan pemacu utama ekonomi negeri Sarawak – Penganalisis

Kredit gambar: Borneo Spotter

KUCHING, 10 Mac: Industri penerbangan boleh memacu industri pelancongan dan perniagaan Sarawak tetapi ia perlu dipertingkatkan lagi sejajar dengan usaha untuk melipatgandakan saiz ekonominya menjelang tahun 2030, kata penganalisis pelaburan dan ekonomi, Pankaj Kumar.

Beliau berkata sejak pelancaran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) tahun lepas, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak yang menyumbang 9.5 peratus daripada KDNK negara dijangka meningkat kepada RM282 bilion pada 2030 daripada RM136 bilion pada 2019.

“Susulan daripada pembukaan sektor ekonomi, sudah tiba masanya untuk Sarawak mengatur strategi dan membawa masuk lebih ramai pelancong,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Berbanding Sabah yang mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), penganalisis itu berkata dua lapangan terbang antarabangsa Sarawak iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Miri (MIA) mempunyai jumlah penerbangan antarabangsa yang sedikit.

“KKIA mempunyai penerbangan terus ke lebih banyak destinasi antarabangsa dan ini termasuk ke Bandar Sri Begawan (Brunei), Tokyo (Jepun), Manila (Filipina) , Singapura, Busan, Seoul (Korea Selatan) dan Taipei (Taiwan).

“Malah, hubungan ke dua bandar Korea Selatan itu menyaksikan Sabah menarik hampir 400,000 pelancong pada 2019,” katanya.

Bagi KIA, beliau berkata penerbangan terus hanya tersedia dari Bandar Sri Begawan dan Singapura, manakala bagi MIA, Scoot Tigerair pada masa ini merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan dua penerbangan terus dari Singapura ke Miri setiap minggu walaupun bandar itu berstatus lapangan terbang antarabangsa.

Pankaj berkata ketiga-tiga lapangan terbang itu mempunyai laluan penerbangan domestik dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru kerana ia merupakan pintu masuk utama untuk perjalanan ke Sarawak dan Sabah bagaimanpun jumlah laluan penerbangan antarabangsanya adalah sedikit.

“Sebagai negeri terbesar di Malaysia, Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab pelancongan di Borneo kerana kita telah melihat data yang menunjukkan ia mempunyai potensi pertumbuhan yang luar biasa daripada segi ketibaan pelancong,” katanya.

Menurut Pankaj, Kuching dan Miri harus mempunyai hubungan yang baik dengan bandar-bandar berdekatan seperti Indonesia, Filipina dan Australia serta bandar-bandar lain seperti Shenzhen dan Haikou di China.

Walaupun Sarawak membelanjakan jumlah yang tinggi untuk infrastruktur lapangan terbang terutamanya di lapangan terbang baharu Mukah dan pelbagai kerja-kerja pembesaran  di lapangan terbang lain, beliau berkata KIA dan MIA memerlukan lebih banyak pelaburan kerana kedua-duanya telah melebihi kapasiti sedia ada.

Beliau berkata pada 2019, KIA mengendalikan sebanyak 5.96 juta penumpang manakala MIA memberi perkhidmatan kepada 2.43 juta tetapi kapasiti reka bentuk kedua-dua lapangan terbang masing-masing hanya dapat menampung sebanyak lima dan dua juta sahaja, ia menimbulkan keperluan kerajaan persekutuan menyediakan lebih banyak peruntukan bagi tujuan kerja-kerja pembesaran lapangan terbang tersebut.

“Sarawak mempunyai potensi yang sangat besar terutamanya industri pelancongannya. Bagaimanapun, negeri dan persekutuan (kerajaan) perlu bekerjasama untuk memajukan Sarawak ke peringkat menerusi laluan penerbangan dan keupayaan lapangan terbang yang lebih baik,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan