Laporan tambahan oleh Odleen Catherny
KUCHING, 10 Mac: Dua lelaki terkorban selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan berhampiran Taman San Chin, Jalan Batu Kawa-Bau pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Saiffudin Muhi, 29, dari Kampung Hulu, Serian dan Afandi Ni-Eng, 37, dari Kampung Sungai Tapang.
Katanya, kemalangan kira-kira pukul 8.25 pagi itu berlaku apabila kereta Perodua Axia yang dalam perjalanan ke Bau telah berhenti secara mengejut menyebabkan dilanggar oleh sebuah kereta Perodua Alza dari arah belakang.
“Akibat perlanggaran itu, kereta Axia telah masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh sebuah van,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Alexson Naga berkata, rempuhan itu menyebabkan pemandu dan penumpang Axia tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau turut memberitahu, mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Pegawai Kanan Tawang Lingem berkata, anggotanya mengambil masa kira – kira 27 minit untuk mengeluarkan kedua mangsa yang tersepit dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10 pagi. – TVS