Kredit gambar: Bradley Richardson/Australian Defence Force/AFP/Getty Images
CANBERRA, 9 Mac: Perdana Menteri Australia Scott Morrison mengumumkan darurat akan diisytiharkan susulan banjir buruk yang melanda kawasan timur laut negara itu.
Morrison mengumumkan perkara itu pada Rabu ketika melawat komuniti yang terjejas di utara New South Wales (NSW), lapor Xinhua.
Pengisytiharan itu akan memberi kerajaan persekutuan lebih kuasa untuk menempatkan Pasukan Pertahanan Australia (ADF) dan sokongan kewangan ke kawasan terjejas.
Ini adalah kali pertama darurat diisytiharkan selepas undang-undang berkaitan perkara itu digubal susulan krisis kebakaran belukar 2019/20.
“Saya telah membuat keputusan ini hari ini, dengan berunding dengan Perdana Menteri.
“Ia akan memastikan Menteri dan agensi kita tidak menghadapi sebarang birokrasi yang tidak perlu semasa mereka melaksanakan apa yang diperlukan masyarakat,” katanya.
Sekurang-kurangnya 20 orang maut dan beribu-ribu bangunan musnah atau rosak sejak banjir melanda pada akhir Februari selepas kawasan timur laut negara ini menerima curahan hujan luar biasa dalam masa seminggu.
Morrison mengumumkan AUS$25 juta (US$18.2 juta) dalam bentuk pembiayaan untuk bantuan kecemasan, makanan dan perkhidmatan kaunseling serta AUS$31.2 juta (US$22.7 juta) untuk perkhidmatan jangka panjang bagi kesihatan mental. – TVS