Kredit gambar: Warta Bromo
JAKARTA, 9 Mac: Banjir buruk yang melanda daerah Pasuruan, wilayah Jawa Timur menyebabkan empat rumah runtuh dan menenggelami 875 kediaman.
Jurucakap Lembaga Pengurusan Bencana Indonesia, Abdul Muhari, berkata kira-kira 2,093 orang daripada 509 keluarga terjejas.
Hujan lebat sejak 6 petang waktu Barat Indonesia pada Selasa, mengakibatkan banjir dan paras air mencecah 150 sentimeter di tiga mukim, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Daerah Malang di Jawa Timur turut dilanda banjir dan sekurang-kurangnya seorang dilaporkan maut di kampung Srigading, mukim Lawang.
Hujan lebat di kawasan itu sejak 3.30 petang Selasa mencetuskan banjir kilat dan turut menyebabkan kerosakan harta benda, manakala lebuh raya tol Surabaya-Malang di kilometer 77-79 tergendala sementara waktu. – TVS