Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Remaja buang anak, pendidikan seks komprehensif adalah perlu – Dr Noor Aishah

ByBernama

KUCHING, 9 Mac: Pendidikan seks yang komprehensif penting untuk diajarkan kepada kanak-kanak seawal peringkat sekolah rendah.

Ini kerana pendidkan pengetahuan menyeluruh berkaitan isu itu penting bagi mengekang gejala sosial seperti buang dan bunuh bayi dalam kalangan remaja.

Berkongsi pandangan berhubung perkara ini, pakar psikologi yang juga pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Noor Aishah Rosli berkata, golongan itu perlu didedahkan dengan pendidikan seks selamat termasuk aspek perlindungan dan pencegahan hamil.  

Dalam konteks ini katanya, ia bukan bermaksud menggalakkan hubungan seks sebelum nikah atau pun bersetuju dengan apa yang dilakukan, namun setidak-tidaknya memberi pendedahan sewajarnya mengenai pendidikan seks.  

“Sebagai contoh, remaja yang tinggal di kampung, lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman mungkin kurang pengetahuan dan tidak didedahkan mengenai pendidikan seks selamat.

Mereka tidak fikir panjang mengenai perlindungan atau pencegahan hamil, yang mereka tahu mengikut emosi dan nafsu semata-mata. 

“Justeru apabila berlaku (hubungan seks dan hamil), mereka panik. Tak tahu apa yang perlu dibuat, takut dimarahi keluarga, dicemuh masyarakat dan itu akhirnya yang membawa kepada isu buang bayi dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung kes pembunuhan bayi yang didakwa dilakukan oleh ibunya yang berusia 15 tahun di Kemaman, terengganu pada Februari lepas.

Menurut Dr Noor Aishah, sekiranya mereka diberi pendedahan mengenai perkara ini termasuk maklumat mengenai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu, banyak masalah sosial berkaitan buang bayi mungkin boleh diselamatkan.

Pakar itu merujuk kepada peti pelindung bayi atau ‘Baby Hatch’, inisiatif yang diperkenalkan untuk membantu golongan yang ‘terpalit’ dengan isu sosial yang masih menjadi tabu di kalangan masyarakat.

Beliau pada masa sama berkata, ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak-anak mereka mengenai batas pergaulan, menjelaskan implikasi buruk yang bakal berlaku sekiranya mereka gagal berbuat demikian serta bersifat terbuka memberi kebebasan tetapi dalam masa sama memantau aktiviti, menjadi contoh terbaik dan menerapkan didikan agama dalam institusi keluarga.

Remaja perempuan tersebut didakwa membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya di sebuah rumah di Seri Bandi, Kemaman, antara 7 hingga 9 pagi pada 8 Feb 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

SEMAKAN SEMULA PERTUDUHAN

Lanjutan daripada kes berkenaan, pada 18 Feb lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pertuduhan membunuh terhadap remaja itu, yang didakwa menikam bayinya sehingga mati, masih boleh diteliti dan disemak semula serta menggantikannya dengan pertuduhan lain.

Menurut AGC, pihaknya membuat kenyataan itu selepas mengambil kira perkembangan tambahan termasuk hasil siasatan kes rogol membabitkan remaja berkenaan.

Jabatan itu memaklumkan, remaja terbabit akan diadili melalui proses keadilan mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) memandangkan orang yang dituduh itu adalah seorang kanak-kanak seperti mana takrifan di bawah Akta 611 dan jika disabitkan kanak-kanak itu akan diperintahkan untuk ditahan di bawah Seksyen 97(2).

Di bawah seksyen itu, pesalah muda ditahan di penjara selama perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut di mana kesalahan itu berlaku.

Menurut AGC, pertuduhan ke atas remaja itu adalah satu proses keadilan jenayah yang telus tanpa dipengaruhi oleh apa-apa dorongan dan berasaskan kepada keterangan semata-mata.

Jabatan itu turut menyatakan, maklumat mengenai kejadian rogol hanya diketahui selepas remaja itu ditangkap, dan tertuduh kemudiannya membuat laporan polis pada 8 Feb lepas.

Susulan daripada laporan polis itu, satu kertas siasatan dibuka dan siasatan masih dijalankan.

FAKTOR PSIKOLOGI, LATAR BELAKANG

Mengulas lanjut berhubung psikologi remaja perempuan tersebut, Dr Noor Aishah Rosli berkata, normalisasi stigma masyarakat melihat remaja ini sebagai individu bermasalah, liar dan jahat kerana tergamak melakukan perbuatan sedemikian (mengandung di luar nikah dan membunuh bayi) perlu ‘diperhalusi’ semula terutama daripada aspek psikologi.

“Apa yang dialami oleh remaja ini mungkin rasa keliru, tertekan, emosi yang tidak stabil serta trauma. Trauma dirogol (berdasarkan laporan yang dibuat) dan kemudian hamil, ia memberi tekanan yang amat dahsyat sepanjang hayat.

Lebih malang, dia juga dituduh membunuh bayi yang dilahirkannya. Rasa takut dan malu dengan orang sekeliling, kemurungan melampau pasti membelenggu diri. 

“Saya melihat apa yang dilakukannya (membunuh bayi yang dilahirkan) adalah di luar kewarasan fikiran dan ia bukanlah dilakukan secara ‘suka-suka’. Apa yang dialami oleh remaja itu adalah disebabkan perasaan buntu dan takut yang luar biasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Aishah yang juga pengasas klinik psikologi CPC International yang terletak di Bangi berkata, faktor latar belakang keluarga juga antara yang perlu diberi perhatian termasuk bagaimana remaja itu dibesarkan serta apa yang berlaku ke atasnya sebelum ini, perlu diperincikan.  

Menurut beliau, langkah berkenaan bukan bermaksud menidakkan perbuatan salah si pelaku, namun bagi memastikan remaja itu diadili sewajarnya dan tidak semata-mata melihat kepada kesalahan membunuh yang didakwa dilakukannya.

“Apa yang berlaku ini, dia perempuan dan apabila melakukan aktiviti seksual atau dirogol, dia mengandung. Seterusnya apabila melahirkan dan berlaku kejadian bunuh bayi, sudah tentu jadi kes polis dan dia didakwa atas akta tertentu.

“Namun begitu daripada sudut psikologi, ada beberapa perkara yang perlu dikaji sebelum hukuman dijatuhkan. Sekiranya kanak-kanak berumur 15 tahun dijatuhkan hukuman mati, umur 15 tahun tahu apa? Akalnya ‘belum lengkap’ (pemikiran belum matang).

“Kita (masyarakat) perlu bantu dia daripada sudut sahsiah dan emosi. Perkara sudah terjadi dan kita mungkin boleh cari hukuman lain yang lebih sesuai dengan umurnya yang sangat-sangat muda,” jelasnya. – TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan