Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Polis tahan lelaki disyaki pengedar dadah, rampas 1.5 kg heroin

Dua lelaki dipenjara 14 hari, denda RM75,000 beri suapan kepada pegawai TNB

SEREMBAN, 8 Mac: Dua lelaki masing-masing didenda RM75,000 dan dipenjara 14 hari oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini kerana memberi suapan kepada seorang pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada November tahun lepas.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Goh How Keong, 50, dan Gan Tze Lee, 49, yang masing-masing bekerja sendiri selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan memerintahkan hukuman tersebut berjalan dari tarikh mereka ditangkap pada 28 Feb lepas.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua lelaki tersebut menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda.

Rushan Lutfi juga mengarahkan wang rampasan berjumlah RM83,380 dilucut hak kepada kerajaan melalui Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengikut kertas pertuduhan, Goh dan Gan didakwa memberikan wang tunai berjumlah RM15,000 kepada seorang pegawai TNB sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha premis yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Jalan Kenari, Taman Paroi Jaya di sini pada 5 Nov 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa terlibat dalam aktiviti melombong mata wang kripto sejak pertengahan 2021 di beberapa premis sekitar Negeri Sembilan dan menawarkan rasuah kepada seorang pegawai TNB Zon Selatan bagi melindungi aktiviti mencuri bekalan elektrik di premis yang menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Siew Yen Mee. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan